AZIZAH NAFI DAKWAAN MAHATHIR

KUALA LUMPUR: Presiden Parti KeADILan Nasional (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan kesemua dakwaan yang dibuat oleh Presiden Umno, Dato Seri Dr Mahathir Mohamad terhadap suaminya, Dato' Seri Anwar Ibrahim sepanjang Perhimpunan Agung Umno yang berakhir Ahad lepas.

Wan Azizah berkata, senarai projek yang dikeluarkan ketika perhimpunan itu bukanlah yang diluluskan oleh Anwar tetapi dibuat oleh Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa yang di bawah penguasaan Datin Seri Paduka Rafidah Aziz.

"Dr Mahathir ini, dia yang buat, dia salahkan orang lain' Senarai itu daripada MITI dan Anwar tidak bertanggungjawab terhadap kelulusan itu," katanya ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan dan Agenda Perubahan anjuran KeADILan di sini yang dihadiri kira-kira 2,000 orang berketurunan India.

Sambil mengingatkan Dr Mahathir agar jangan memutarbelitkan fakta, beliau berkata kerajaan sekarang yang cuba menonjolkan slogan Bersih, Cekap dan Amanah sebenarnya sudah menjadi Sapu Bersih, Cekap Ambil dan Amanah Antara Kita.

"Yang ada dalam kerajaan sekarang hanyalah perkongsian antara Dr Mahathir, Sammy Vellu dan Ling Liong Sik," tambahnya ketika mengulas mengenai hubungan antara kaum di negara ini.

Beliau juga berkata KeADILan bukanlah parti serpihan atau pembelot seperti yang didakwa oleh Dr Mahathir tetapi sebuah parti yang memperjuangkan keadilan untuk rakyat negara ini.

Mengenai dakwaan Dr Mahathir bahawa Wan Azizah tidak pandai berpolitik, Wan Azizah berkata," Memang saya tidak pandai berpolitik, tetapi saya tidak pandai berpolitik cara mereka (Umno),".

Beliau juga menjelaskan, Menteri Dalam Negeri, Dato'Seri Abdullah Badawi tidak membenarkan beliau dan anak-anaknya menemui Anwar atau membawa apa-apa makanan untuk suaminya itu.

Menurutnya, beliau hanya dapat membawa anak-anaknya menemui bapa mereka di lokap sementara menunggu perbicaraan kes Anwar sekarang meskipun tempat itu tidak begitu sesuai untuk kanak-kanak.

"Apa yang menyedihkan saya, apabila masa untuk balik, anak saya yang darjah satu memegang kaki papanya dan bertanya, bila papa nak balik," tambahnya.

Beliau juga mengatakan sistem kehakiman di negara ini sudah menjadi bahan jenaka dan menjadi sandiwara yang memalukan negara terutamanya yang diperlihatkan dalam perbicaraan kes Anwar.

Hantar Komen Anda