Isu Kronisme:

Mahathir Berdolak Dalih

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad berdolak dalih dalam isu kronis, korupsi dan nepotisme sejak ia dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Umno tahun lepas.

Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang berkata, mulanya Mahathir menafikan wujudnya kronisme, kemudian beliau memberikan definisi yang kabur tentang kronisme dan mengatakan kesemua rakyat negara ini adalah kroninya.

"Sekarang beliau mahu semua rakyat percaya bahawa hanya ada "kroni Anwar" dalam negara ini," katanya ketika mengulas mengenai senarai projek yang dikatakan diluluskan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Lim berkata, senarai itu sepatutnya mengandungi keseluruhan projek pengswastaan yang diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) termasuklah yang membabitkan penyokong Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin.

Cadangan kepada Dr Mahathir agar menyenaraikan secara lengkap semua projek penswastaan, kontrak kerajaan, pembahagian saham, permit dan lesen dan melaksanakan polisi agar penyenaraian itu dibuat setiap setengah tahun telah tidak dipedulikan, ujarnya.

"Rakyat telah melihat pendakwaan terpilih, keadilan terpilih dan sekarang pemberian maklumat kerajaan secara terpilih yang bertujuan menafikan kritikan daripada pembangkang," tambahnya.

Mahathir sepatutnya menyedari bahawa melainkan kerajaan bersedia mengeluarkan senarai penuh itu, kerajaan tidak boleh menyakinkan rakyat bahawa kanser kronism, korupsi dan nepotism telah dirawat, katanya.

< a href="mailto:ketuapengarang@hotmail.com">Hantar Komen Anda