Wawancara bersama MB

Media jangan khianat - MB

Muqadimah: Kepemimpinan PAS di Kelantan menjadi ukur penting untuk melihat kemampuan sebenar PAS bersedia sebagai kerajaan alternatif di negara ini. Sikap kesederhanaan dan ikhlas ulama' menjadi harapan utama rakyat. Mereka sudah terlalu mual dengan gelagat pemimpin negara hari ini. Bagi mendekati situasi yang berlaku di negeri Serambi Mekah, pembaca diajak menyoroti pandangan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang kepemimpinannya sembilan tahun lalu di Kelantan. Beliau juga mempunyai pandangan tersendiri dengan media yang banyak menghentam PAS dan parti-parti alternatif sekarang.

Soalan(S): Peranan media sekarang dilihat cenderung untuk melemahkan PAS dan mengangkat martabat Umno. Sejauh mana Tuan Guru lihat peranan media hari ini?

Menteri Besar (MB): Media sejak dahulu lagi dikuasai sebelah pihak sahaja. PAS hanya ada Harakah. Media bersikap demikian sejak daripada dulu lagi. Sejak mana yang saya ingat, suratkhbar harian, radio televisyen bersikap demikian. Sebab itulah timbul kita perlu berceramah setiap masa. Pagi petang, siang dan malam di mana sahaja kita berada, kita sebarkan dakwah gerakan Islam. Kita hendak mengimbangi laporan media masa yang dikuasai sepenuhnya oleh Barisan Nasional (BN), lebih-lebih lagi akhir-akhir ini sibuk sangat mereka menonjolkan perkara-perkara yang bukan-bukan. Saya sudah lama ingatkan penulis-penulis atau wartawan jangan khianat dalam kerja-kerja kewartawanan, sepatutnya mereka menulis surat khabar sebagai menyambung lidah rakyat dan bukan menyambung lidah parti. Kalau boleh dalam sebuah negeri diberi kebebasan bercakap. Tapi dukacita di negara ini tidak jadi begitu. Media elektronik bercakap bagi sebelah pihak sahaja. Hanya ada Harakah satu itupun sudah beberapa kali diberi amaran dalam mesyuarat agung Umno supaya ditarik balik permit atau diharamkan.

S: Maksud Tuan Guru media jadi jurucakap Umno?

MB: Bagi saya media sekarang adalah jelas menjadi jurucakap Umno. Walaupun sekali sekala mereka selit ucapan-ucapan pemimpin PAS tetapi hanya sekadar lepas batuk di tangga sahaja.

S: Isu terbaru yang cuba digambarkan oleh media mengenai kafir mengkafir dan fatwa Tuan Guru Haji Hadi. Sejauh mana tanggapan Tuan Guru mengenainya.

MB: Isu kafir mengkafir ini kalau kita didik rakyat dengan memberi fakwa selama-lamanya, akhirnya rakyat akan menjadi robot. Rakyat tidak pandai berfikir, tak pandai menggunakan akal fikiran sendiri kerana khuatir tertekan dengan fatwa. Jadi cara yang paling baik sekali, kita teruskan muzakarah. Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Abdul Hamid Othman hendak muzakarah dengan PAS. Setelah kita bersetuju, dia pula tarik balik. Saya minta dia usaha supaya mengadakan muzakarah semula, baru selesai masalah. Keduanya, saya minta rakyat belajar dan membaca. Jangan tunggu fatwa sahaja. Dan isu kafir mengkafir ini, buku yang paling mudah dan senang dibaca (rujukan) oleh umat Islam ialah 'Mustika Hadis' yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri. Buku itu dikarang seorang bekas mufti. Cukup senang untuk mendapatnya, di kedai-kedai mana sekalipun mudah untuk membelinya. Kalau saya atau PAS keluarkan fatwa sudah tentu Umno tidak mahu menerimanya. Begitu juga kalau Umno keluar fatwa pula, PAS tidak akan menerima. Bagi mengatasinya lebih baik kita membaca buku tersebut.

S: Isu kafir mengkafir diselesaikan secara muzakarah?

MB: Cara yang paling selamat untuk menyelesaikan isu kafir mengkafir ialah bermuzakarah. Bila bermuzakarah bererti kita bergilir ingat mengingat. Ingat bermakna kita mengingatkan benda yang kita lupa. Umno tolong ingatkan kalau kita lupa, begitu juga bila Umno lupa kita tolong ingatkan. Lupa dan ingat ini saya maksudkan ialah lupa kepada Allah dan bukannya ingat hendak pilihan raya, pengundi hantu dan politik wang. Itu masalah yang kedua, masalah pertama ialah lupa kepada Allah. Hasil manusia lupa kepada Allah, manusia berkorporat pun tidak cara Allah, berpolitik pun tidak kerana Allah. Berumah tangga, bersosial, berbudaya dan semua sekali adalah karut sekiranya manusia lupa kepada Allah. Jadi Umno boleh sebut kepada kami sekiranya ada di tempat tertentu PAS lupa kepada Allah. Mereka mesti memberikan contohnya. Kami pun boleh sebut Umno lupa kepada Allah dengan contohnya begini... dan nasnya begini. Jadi cara yang paling baik ialah dua cara bermuzakarah dan rakyat mesti diajar membaca buku (kitab). Baca kitab supaya otak kita boleh berfungsi sendiri. Kitab yang paling baik ialah 'Mustika Hadis' yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

S: Umno akan berterusan memainkan isu ini?

MB: Biarlah mereka mainkan isu ini, biar dia (Umno) mengamuk seorang diri, tetapi penyokong mereka di peringkat bawah semakin hari semakin ramai yang menyertai PAS. Semakin pemimpin mereka mainkan isu, lebih ramai lagi penyokong di peringkat bawah menyertai PAS. Sekarang realiti ini sudah terbukti, setiap masa ada sahaja ahli dan penyokong Umno yang menyerah borang menyertai PAS.

S: Akhbar juga cuba menggali semula isu sembahyang dua imam dengan menuduh PAS sebagai puncanya?

MB: Perkara ini berlaku kerana orang Melayu ada Umno dan PAS. Ada orang Melayu yang sokong Umno dan ada orang Melayu sokong PAS. Sembahyang dua imam boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya semua orang Melayu menyokong PAS. Soal sembahyang dua imam tidak wujud lagi. Perkara ini juga boleh diselesaikan dengan mengajakkan semua orang Islam mempelajari kitab agama seperti Mustika Hadis. Jalan terakhir ialah bermuzakarah di antara kedua-dua pihak berkenaan bagi mencari punca masalahnya.

S: Mengenai pilihan raya umum akan datang, apakah PAS mampu mempertahankan atau menambah majoriti di Kelantan?

MB: Sejauh mana yang kita tengok perkembangan yang berlaku sekarang, Insya Allah. Ada orang yang suatu ketika dahulu menentang dengan begitu kuat sekali PAS, sekarang pada keseluruhannya sudah boleh menerima PAS. Bukan sahaja di Kelantan, di Kuala Lumpur dan di mana sahaja pun bila kita bercakap dengan orang ramai, mereka melahirkan tidak sukakan kerajaan yang ada sekarang. Lebih-lebih lagi ramai bekas-bekas Semangat 46 sudah menyertai PAS. Ahli dan penyokong Umno pun ramai yang menyertai PAS sekarang. Dengan perkembangan yang berlaku itu tiada sebab PAS tidak boleh mempertahankan Kelantan sekiranya pilihan raya berjalan mengikut lunas demokrasi. Maknanya tidak ada unggutan, tidak ada politik wang dan tidak ada pengundi hantu, Insya Allah PAS boleh mempertahankan Kelantan.

S: Jadi Tuan Guru berkeyakinan?

MB: Ya...saya berkeyakinan besar berdasarkan perkembangan tersebut dengan syarat demokrasi diamalkan dengan betul.

S: Umno juga berkata mereka yakin merampas Kelantan?

MB: Itu mereka hak mereka untuk bercakap. Umno boleh cakap apa sahaja. Tetapi kita ada bukti dengan penambahan ahli yang berlaku dengan mendadak sekarang. Ramai ahli dan penyokong Umno dan bekas Semangat 46 yang menyertai PAS sekarang, kalau dia (Umno) ada bukti boleh dikemukakan, Allahualam.

S: Kehadiran begitu ramai di majlis-majlis ceramah anjuran PAS adakah boleh dijadikan ukuran sebenar menggambarkan kekuatan PAS?

MB: Ya...memang. Mana ada orang pergi ke sesuatu tempat tanpa satu tujuan. Tiap-tiap malam kita pergi berceramah, orang ramai datang dengan begitu ramai sekali. Ini adalah menggambarkan ada hubung kait apa yang kita cakap dengan kemesraan yang mereka rasakan betul. Sehingga jam 12 malam kita berceramah, orang ramai yang hadir tetap tidak berganjak. Apa erti kalau merasakan perkara itu tidak betul. Rakyat Kelantan sudah lama mendengar ceramah, kalau dia rasa tidak sedap, tentunya mereka akan lari. Macam kita makan di gerai mana yang rasa tidak secocok dengan selera kita, sudah tentu kita tidak akan pergi ke kedai lain. Makanan yang sedap tentunya kita akan makan habis. Percakapan yang tidak sedap didengari tentunya orang ramai tidak mungkin tunggu sampai selesai ceramah. Malah pernah berlaku apabila saya berhenti berceramah pada jam 12 malam, ramai lagi yang mahu supaya diteruskan. Kita tidak boleh teruskan ceramah kerana hormatkan peraturan pihak berkuasa.

S: Ramai pemerhati politik berpendapat sejarah pilihan raya umum 1990 akan berulang kembali berdasarkan situasi sekarang iaitu kerjasama dengan parti-parti alternatif dan NGO. Apa pandangan Tuan Guru?

MB: Satu daripada contoh PAS boleh mengulangi sejarah 1990 ialah kehadiran begitu ramai di setiap majlis ceramah-ceramah anjuran PAS. Takkan lah rakyat dengar selepas itu mereka tidak terima.

S: Ini bermakna tanpa Semangat 46 pun PAS mampu mempertahankan Kelantan?

MB: Bekas-bekas ahli dan penyokong Semangat 46 pun begitu ramai yang sudah menyertai PAS. Orang yang pernah menyokong Semangat 46 sekarang sudah menjadi ahli PAS. Begitu juga sebelum ini mereka menyokong Umno dan sekarang menyertai PAS. Semangat 46 itu nama pertubuhan dan bukannya nama orang. Pertubuhan boleh jadi tiada, tetapi orang tetap ada.

S: Sejauh mana Tuan Guru lihat kemampuan parti-parti alternatif menggantikan kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang?

MB: Kerjasama bagi kita gerakan Islam biar bagaimana cara sekalipun mesti berikhtiar. PAS sendiri sebagai sebuah parti 'multiracial' (pelbagai bangsa) kerana PAS ini Islam dan dasarnya Islam. Islam ini bukan milik orang Melayu sahaja. Melayu, Cina dan India sekiranya mereka itu Islam mereka berhad menjadi ahli PAS. Ini bermakna PAS sudah menjadi 'multiracial', baki lagi sebab rakyat negara ini begitu tebal sekali dengan kefahaman yang ditinggalkan penjajah bahawa Islam ini agama untuk orang Melayu. Islam ini agama lain dan politik lain. Oleh sebab terlalu tebal fahaman itu maka menjadi sukar PAS hendak kembangkan semangat keIslaman kepada orang lain kerana mereka menganggap orang Melayu - Melayulah, India - Indialah dan Islam itu agama lain, politik lain. Sekarang alhamdulillah setelah kita terajui Kelantan dengan nama Islam dan kita buat apa sahaja berpandu al Quran dan Hadis. Misalnya setiap kali berceramah saya sebutkan ayat-ayat al Quran. Saya padukan ayat-ayat al Quran dengan benda lain yang hendak kita buat. Jadi orang terasa apa yang disebutkan oleh Umno selama ini bohong dan tidak ada asas. Islam ini benda baik dan menyeluruh. Misalnya saya sebut, yang membuat langit, bumi dan semua makhluk adalah Allah Taala. Orang Melayu, Cina, India dan apa sahaja adalah dibuat oleh Allah Taala. Sekiranya orang Cina tidak percaya dia dijadikan oleh Allah Taala beritahu siapa yang buat dia. Organ-organ dalam tubuh badan kita dibuat oleh Allah Taala jadi kalau masih tidak percaya, kena cakap siapa yang buat? Biar ada hujah juga.

S: Bagaimanapun pula ada pihak yang bergantung kepada budaya semata-mata?

MB: Budaya ini kalau betul kita boleh pegang. Sebab itu orang Cina boleh hidup selesa kerana mereka tidak bergantung sangat kepada budaya. Tauke-tauke yang dahulunya menjual teropah kayu, dan sekiranya terus berpegang dengan budaya itu, sudah tentu susah kehidupan mereka. Tetapi mereka boleh berganjak dari teropah menjadi selipar dan kemudian kasut. Tauke yang dahulunya menjual beca dan sekarang tauke yang sama sudah menjual motorcar. Ini bererti kalau dia tetap berpegang dengan budaya beca tentunya kehidupannya tidak akan berubah. Jadi begitu juga dengan masalah agama, budaya itu kita kena fikir...betul atau tidak budaya yang kita pegang sekarang. Budaya itu kena tukar kepada yang lebih baik. Islam selama-lamanya memberi peluang kepada orang bukan Islam untuk bersoal jawab, bermuzakarah dan bermujadalah. Berselisih faham, berdialog dengan mereka.

S: Mengenai mahligai PM yang tersegam indah, sedangkan rakyat diajak berjimat. Di mana kepincangan Tuan Guru lihat?

MB: Saya lebih berminat untuk memperkatakan dari segi pembaziran. Sewaktu kapalterbang tentera jatuh, hati saya selalu terkilan. Hendak lahirkan seorang juruterbang yang mahir tentunya susah. Sepatutnya kerajaan menggunakan kapalterbang yang lebih canggih dan baru bagi mengelakkan insiden yang sama berulang. Sedangkan kerajaan sekarang dilihat lebih selesa membelanjakan wang yang banyak untuk membina menara kembar dengan bentuk bangunan yang pelik sehingga melibatkan kos tinggi. Hendak membeli kapalterbang yang baru untuk tentera, kita kedekut sedangkan dalam masa yang sama nyawa anak-anak kita melayang. Ini satu hal yang saya terkilan sangat. Berapa buah kapalterbang sudah jatuh. Pilot kita mati bukan kerana berperang....boleh jadi kerana kecuaian mereka atau alat ganti kapalterbang yang tidak sesuai. Pembaziran saya tidak boleh terima langsung. Sebab itu saya sekarang biarpun menjadi pengerusi banyak agensi kerajaan, elaun yang saya ambil kurang 50 peratus daripada elaun yang diterima oleh orang lain. Gaji sudah ada, apa lagi hendak diambil pula elaun. Perkara-perkara seperti itu saya masukkan ke dalam kepala untuk lebih berwaspada.

S: Bagaimana pula dengan pemindahan pejabat Jabatan Perdana Menteri ke Putrajaya sedangkan pejabat sedia ada masih sesuai memandangkan kegawatan belum pulih?

MB: Pemindahan pejabat ini boleh jadi masalah pentadbiran, saya tidak tahu, tetapi kalau membabitkan kewangan yang banyak, lebih baik kekalkan sahaja pejabat di tempat yang lama, kecuali pejabat lama tidak boleh digunakan lagi. Kalau sekadar hendak seronok-seronok itu bukan caranya. Perbaziran duit rakyat perlu diambil kira.

S: Pelaksanaan Islam secara beransur-ansur tetap menjadi senjata bagi Umno sejak dari dahulu lagi. Sekarang ia digambarkan lagi oleh Dr Abdul Hamid Othman?

MB: Islam masuk ke Malaysia ini lebih 500 tahun lampau. Bukannya Islam bermula sejak dari merdeka. Jadi beransur tersebut bermula daripada mana. Bermula dari merdeka atau sebelum itu lagi. Rakyat Kelantan atau negeri-negeri lain saya fikir...masalah Islam ini hendak dibuat sekarang pun mereka setuju. Misalnya di Kelantan ketika pengharaman judi hendak dilaksanakan saya beri peluang selama tiga bulan. Itu beransur-ansur namanya. Kerana semua orang tahu judi adalah benda haram. Peluang tiga bulan diberi untuk pihak berkenaan menyusun barang-barang atau peralatan mereka, sudah memadai. Tapi hendak diberi peluang bertahun-tahun, itu tidak boleh diterima. Yang dikatakan bank Islam itu terima secara dasar atau terima secara konsep. Umno dia terima konsep. Kalau dia nampak baik, dia akan terima, lebih-lebih lagi masalah duit. Kalau duit, dia lebih-lebih lagi. Misalnya berkaitan Tabung Haji dia (Umno) lah awal-awal lagi mahu merealisasikan. Begitu juga dengan masalah bank dia juga yang awal-awal lagi. Masalah zakat itu juga. Tetapi masalah sembahyang, zakat, syahadat dan murtad yang tidak melibatkan ekonomi Umno tidak ambil peduli. Kes murtad bukan main lagi diperkatakan, tetapi tidak ada apa pun tindakan yang dilakukan oleh Umno. Bila tidak menyentuh ekonomi, tidak ada minat bagi Umno. Buat undang-undang pun tidak dapat duit. Masalah sembahyang, Umno hanya tahu buat masjid sahaja. Rakyat sembahyang atau tidak, dia (Umno) tidak ambil tahu. Kita hendak kerja Islam ini bukan sekadar mahu cari pancing undi, kita perlu bekal di akhirat kelak. Bekal tidak boleh dibuat kecuali dengan keyakinan kerana perkara itu adalah benda dasar (asas). Sebab itu kita ajar rakyat terima parti yang dasarnya Islam supaya segala gerak kerja kita akan dijadikan bekal di akhirat kelak. Kita kena ingat bahawa dalam al Quran disebut orang sembahyang ada masuk neraka. Sebuah neraka disediakan untuk orang sembahyang, sedangkan sembahyang adalah amalan akhirat. Tetapi sembahyang yang tidak kena dengan kehendak Allah Taala akan masuk neraka juga. Orang sembahyang tetapi ria, kedekut, lupa lalai ini semua telah diterangkan oleh Allah Taala. Kita didik rakyat dengan Islam awal-awal lagi. Dakwaan kononnya Islam tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana rakyat berbilang bangsa, perkara itu adalah karut seratus peratus. Orang yang tidak tahu taraf agama Islam itu sendiri sebagai agama antarabangsa adalah orang yang tidak baca sejarah. Di Makkah dan di Madinah sendiri masyarakatnya majmuk tetapi Islam dapat dilaksanakan. Kita sebagai orang yang berpendidikan tinggi hendak sebut Islam tidak boleh dilaksanakan kerana majmuk, anak-anak kita pun tahu, bahawa ia dalil palsu. Zaman dahulu (40 tahun lalu) hendak sebut perkara itu, tak apa la....kerana orang orang buta huruf dan jahil bolehlah diberi alasan itu, tetapi sekarang ia tidak boleh diterima. Kalau sebut juga orang akan ketawa. Golongan terpelajar sekarang sudah cemuh dengan pembohongan dan kepalsuan yang dibuat pihak berkenaan. Tidak relevan sekarang kalau Umno guna hujah itu (majmuk).

S: Apa kejayaan besar Tuan Guru lihat sepanjang pentadbiran PAS sejak sembilan tahun lalu?

MB: Bagi saya kejayaan ialah berjaya mengubah fikiran rakyat daripada tidak yakin kepada Islam kepada bertambah yakin kepada Islam. Membina jalan raya, membina bangunan besar, bagi saya tidak ada apa...kerana ia perkara biasa. Pergilah ke negara komunis atau Amerika ada jalan raya..jadi kalau saya sebagai pengerak Islam di sini buat perkara yang sama, apa lebihnya saya, kalau dibiarkan kepada BN pun dia boleh buat jalan raya. Jadi kita sebagai gerakan Islam buat perkara macam itu juga, bagi saya tidak ada apa. Tetapi benda yang saya letak harapan tinggi kepada Allah Taala di akhirat kelak apabila mengadap-Nya mengubah fikiran rakyat daripada sekular kepada Islam. Perkara inilah yang dibuat oleh Nabi Muhamad Saw. Kita tidak nampak diceritakan ada jalan raya yang dibuat oleh Nabi Muhamad Saw ketika pemerintahannya. Masjid yang dibuat sepanjang pemerintahan baginda pun hanya dua buah sahaja. Itulah perkara yang dibuat sepanjang 23 tahun pemerintahannya. Maka kalau kita hendak mengukurnya dari segi benda maka Nabi Muhamad Saw tidak membuat kemajuan apa-apa. Jasa yang paling besar dibuat oleh Nabi Muhamad Saw ialah boleh mengubah pemikiran umat manusia sehingga Allah Taala memanggilnya sebagai hamba Aku, pilihan Aku dan kekasih Aku. Semuanya disebabkan usaha Nabi Muhamad Saw berjaya mengubah pemikiran manusia, kerana kerjanya adalah terlalu sukar disebabkan orang bergantung kepada budaya dan fahaman lama. Tiba-tiba boleh diubah tanpa menggunakan duit dan unggutan ini merupakan satu kejayaan besar. Saya letak harapan tinggi kepada Allah Taala supaya Dia terima usaha kita.

S: Dilihat sekarang penerimaan rakyat terhadap gerakan Islam semakin meningkat, adakah Tuan Guru berpuas hati dengan keadaan itu?

MB: Tidak ada istilah puas hati, tetapi bagi saya sudah berasa lega. Lega apabila di mana-mana saya pergi orang ramai datang. Anak-anak kecil pun datang berebut-rebut hendak berjabat tangan. Ini menggambarkan benda yang dicakapkan oleh penceramah PAS dan saya adalah kena dengan 'concern' atau pemikiran orang ramai. Benda yang dia belajar sejak sekian lama, kitab dan di surau mana sekalipun, orang politik sebut pun begitu juga. Tapi susahnya semasa belajar lain, orang Inggeris sebut lain. Ini yang menjadi masalah kepada Umno sekarang.

S: Sejauh mana Tuan Guru lihat golongan pelapis mampu mengambil alih teraju kepemimpinan kerajaan negeri dan parti?

MB: Di Kelantan kita tidak ketandusan golongan pelapis, ramai muncul sebagai golongan pelapis. Pemimpin-pemimpin muda dan lama, ramai yang berkemampuan boleh mengganti tempat saya sebagai penyampai kuliah di Dewan Zulkefli apabila saya uzur. Kadang-kadang tidak berapa uzur, saya juga minta orang lain mengambil alih tempat saya mengajar. Tujuannya saya mahu tonjolkan bakat baru bagi membolehkan masyarakat tidak bermanja sangat dengan saya. Pemimpin tersebut akan menjadi tumpuan, lama kelamaan masyarakat boleh terima. Saya sebagai manusia biasa mesti kena mati, jadi sebelum itu kita kena buat persiapan, salah satu caranya ialah menonjolkan golongan pelapis. Kadang-kadang penceramah kita dari jauh telefon tanya hendak baca ayat mana yang sesuai. Ini menandakan mereka bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu sebagai persediaan menjadi golongan pelapis.