PERHIMPUNAN AMPU, SOKONG DAN KUTUK

KUALA LUMPUR: Orang ramai menyifatkan Perhimpunan Agung Umno yang berakhir Ahad lepas sebagai perhimpunan ampu, sokong dan kutuk yang telah menjadi satu budaya dalam parti itu.

Mohd Rashidi Alias, 26 berkata, perhimpunan Umno itu tidak menonjolkan apa-apa usaha untuk membincangkan masalah dan masa depan bangsa Melayu seperti yang didakwa olehnya.

Menurutnya, apa yang diperlihatkan dalam perhimpunan itu adalah kritikan-kritikan terutamanya terhadap PAS dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan usaha Presiden Umno, Dato' Seri Dr Mahathir untuk mengukuhkan kedudukannya.

"Inikah parti yang akan memperjuangkan bangsa dan agama seperti yang didakwa oleh penyokong-penyokong mereka? Perhimpunan itu adalah perhimpunan ampu, sokong dan kutuk," katanya sambil menyeru ahli-ahli Umno agar menyertai parti-parti alternatif.

Seorang mahasiswa universiti, Mohd Fuad Othman pula menyifatkan perhimpunan Umno itu kehilangan arah dengan hanya membincangkan isu-isu yang kecil yang bersifat peribadi terutamanya untuk mengukuhkan sokongan terhadap Mahathir.

Perhimpunan itu sepatutnya mempunyai agenda yang lebih besar seperti isu pengkorporatan universiti yang menyebabkan ramai pelajar Melayu menghadapi masalah kewangan supaya boleh menonjolkan Umno sebagai pembela bangsa Melayu, ujarnya.

"Tetapi apa yang berlaku, perhimpunan itu sudah menjadi tempat mengampu dan membodek pemimpin atasan," tambahnya ketika ditemui di sini.

Manakala seorang kakitangan kerajaan yang enggan disiarkan namanya berkata, beliau kesal dengan sikap pemimpin Umno yang mengugut kakitangan kerajaan termasuk guru jika mereka menyokong parti alternatif.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan, dalam perhimpunan itu, Menteri Pendidikan, Dato' Seri Najib Tun Razak yang mengancam akan menghantar guru-guru ke pulau sekiranya masih menyokong parti alternatif.

"Rakyat berhak untuk menentukan parti mana yang lebih baik untuk membentuk kerajaan bagi kebaikan rakyat," ujarnya.