KEMUSNAHAN NEGARA AKIBAT SEKULARISME
  ­ 7   É3                     
ŐTelitilah Firman Allah S.W.T. (yang bermaksud) :

"Dan tidaklah Tuhanmu membinasakan kota-kota, sebelum Dia mengutus di ibukota itu seorang rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka; dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman."
Al-Qashash (28) : 59

Segala kegawatan dan krisis yang dideritai oleh rakyat dan negara pada masa ini adalah bukti kegagalan sistem sekular yang didukung dan dipertahankan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah diberi mandat memerintah negara selama empat puluh dua tahun. Sewajarnya segala petunjuk (indicator) kegawatan aqidah, kegawatan sosial, ekonomi, politik dan keadilan yang dipaparkan dengan jelas oleh Allah di hadapan mata rakyat sekarang ini menjadi hujah yang amat kuat untuk semua manusia kembali kepada Islam - sistem yang ditetapkan oleh Allah untuk menjamin keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan hidup mereka di dunia dan di akhirat.

Umat Islam khususnya orang-orang Melayu sudah melihat betapa kegagalan program memartabatkan bangsa Melayu melalui slogan 'Melayu Baru' tajaan UMNO. Program yang diasaskan kepada melahirkan 'the economic man' di dalam kerangka kapitalisme ini runtuh dalam sekelip mata dengan kegawatan ekonomi serantau. Projek 'Melayu Baru' untuk melahirkan elit jutawan Melayu akhirnya terbongkar sebagai skandal pembinaan kroni dan amalan nepotisme yang tidak membawa manfaat kepada masyarakat Melayu terbanyak. Skandal busuk ini ditelanjangi sendiri oleh kaum kerabat UMNO rentetan kemelut politik busuk yang melanda parti mereka.
 
Apakah yang tinggal untuk orang-orang Melayu setelah 42 tahun diperintah oleh UMNO/BN? Yang ada hanyalah pegangan hartanah dan ekuiti yang terus merosot dari tahun ke tahun. Tanah-tanah mereka dirampas tanpa ihsan semata-mata di atas 'maksud keramat pembangunan' yang dipaksakan oleh UMNO/BN :

a) Pada 1996, sejumlah 207,489.97 ekar (82,995.99 hektar) Tanah Rizab Melayu telah hilang status kerana projek pembangunan dan dari jumlah itu hanya 70,843.70 ekar (28,338.48 hektar) atau 34 peratus sahaja yang diganti semula;

b) Di wilayah Persekutuan, tanah milik Melayu hanyalah 5.13 peratus sahaja dari keseluruhan Wilayah Persekutuan;

c) Di kawasan bandar Pulau Pinang hanya tinggal 1.04km persegi atau 0.7 peratus sahaja yang masih menjadi milik Melayu;

d) Usahawan Melayu hanya memiliki 6 peratus sahaja dari keseluruhan rumah-rumah kedai di seluruh negara;

Setelah 20 tahun Dasar Ekonomi Baru, apakah kemajuan yang diperolehi oleh orang Melayu? Menurut Laporan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara pada 1998 :

a) Keseluruhan ekuiti bumiputera dalam syarikat yang disenaraikan hanya 27 peratus sahaja pada Februari 1998;

b) Bilangan keluarga miskin dalam tempoh 1997 - 1998 telah meningkat dari 346,000 kepada 414,700 di mana kebanyakannya adalah orang-orang Melayu;

c) Kadar pengangguran dalam tempoh 1997 - 1998 telah meningkat dari 2.7 peratus kepada 6.4 peratus di mana kadar pengangguran adalah meningkat dari 229,700 pada tahun 1997 kepada 544,200 pada tahun 1998 dengan kebanyakan dari mereka adalah Melayu.

Anak-anak Melayu musnah dengan penagihan dadah yang kian parah dan hancur dengan gejala pergaulan seks bebas yang memalukan. Daripada lebih 200,000 angka rasmi penagih tegar yang dilaporkan oleh kerajaan pada 1997, 70 peratus terdiri daripada belia-belia Melayu. Laporan Kementerian Kesihatan pada pertengahan 1996 menunjukkan 70.33 peratus daripada 17,000 pembawa HIV dan penghidap AIDS di seluruh negara adalah remaja Melayu. Kajian Kerajaan Selangor pula menunjukkan 80 peratus pegawai perhubungan pelanggan (GRO) adalah gadis Melayu berusia awal 20-an, yang tidak segan silu melakukan maksiat kerana semata-mata tidak mahu dianggap kolot oleh pelanggan. Angka-angka ini dipercayai terus meningkat setiap tahun dan ternyata kerajaan UMNO/BN gagal mencari formula penyelesaian gejala sosial sejak dihebohkan lebih lima tahun lalu. 

Dasar pragmatik ekstrim yang menjadi anutan UMNO/BN turut membawa bala' kepada negara khususnya orang-orang Melayu. Sebagai contohnya, melalui pendekatan mengawal pengeluaran aliran keluar wang negara untuk membendung kegawatan ekonomi, kerajaan UMNO/BN memperkenalkan sekatan terhadap kumpulan-kumpulan penghibur asing membuat persembahan di kelab-kelab hiburan negara ini. Sebagai gantinya mempromosikan arti-artis tempatan untuk memperhebatkan lagi pengaruh industri berkenaan. Pendekatan yang tidak terkawal seperti ini akan menyuburkan penularan budaya Barat yang meningkatkan lagi masalah dekadensi sosial yang telah sedia tenat di kalangan generasi muda khususnya belia-belia Melayu. Perubahan dasar yang tidak berprinsip seperti ini adalah amat bercanggah dengan Islam. 

Orang-orang Melayu mestilah bersedia menghadapi dan menangani kegawatan aqidah yang lebih parah selepas tahun 2000 jika UMNO/BN terus berkuasa. Kes-kes murtad yang telah berlaku sebelum ini tidak dihiraukan langsung oleh UMNO/BN, malah usaha yang dibuat oleh wakil-wakil PAS di parlimen untuk membahaskan isu ini sekaligus menggubal akta khusus mengenainya ditolak mentah-mentah oleh pemimpin UMNO/BN. Menteri kerajaan BN yang dipertanggungjawabkan dengan hal ehwal agama terus menabur janji palsu kepada umat Islam kononnya regim sekular BN bersedia untuk memperkenalkan apa yang digelarnya sebagai 'Undang-Undang Mencegah Murtad'. Namun sehingga kini tiada apa pun dikemukakan dan kita percaya mereka tidak akan berusaha untuk menjayakannya. Petaka murtad ini tidak mustahil bertambah subur dengan ketiadaan peruntukan yang jelas untuk melindungi aqidah umat Islam di dalam perlembagaan negara ditambah lagi dengan kepesatan serangan kristianisasi yang berlaku secara berterusan. Dasar dan Kurikulum Pendidikan Kebangsaan ternyata pincang kerana pemimpin kerajaan yang mendukungnya adalah mereka yang tidak mendukung Islam.

Saudara-saudara yang dirahmati Allah;

Rakyat dan negara juga telah menyaksikan pencabulan demokrasi dan kegilaan kuasa dilakukan dengan begitu rakus oleh UMNO dan BN. Bermula dengan kekangan demi kekangan ke atas kuasa-kuasa formal (formal powers) struktur kenegaraan iaitu :

a) pencabulan terhadap institusi Raja Berperlembagaan dengan krisis pindaan perlembagaan pada 1983 dan 1993 (Perkara 32(1), Perkara 181 dan Perkara 66);

b) kekangan terhadap sistem kehakiman dengan krisis pemecatan Tun Salleh Abas pada 1988 dan meletakkan badan kehakiman di bawah kuasa eksekutif;

c) menafikan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat yang betul dan tepat dengan menguasai semua media massa perdana negara dan ditambah lagi dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan;

d) menyempitkan kebebasan bersuara rakyat dengan Akta Polis dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kerajaan UMNO/BN juga tanpa segan silu mencabul prinsip demokrasi apabila mereka mensinonimkan program-program parti mereka dengan program-program rasmi kerajaan. Agensi-agensi kerajaan disalahgunakan semahu-mahunya untuk kepentingan parti pemerintah malah mungkin untuk kepentingan peribadi pemimpin-pemimpinnya tanpa mengendahkan etika dan undang-undang. Lihat sahaja kepada siri lawatan Dr. Mahathir ke seluruh negara dalam apa yang digelar 'Majlis Bersama Rakyat' - seluruh jentera dan kewangan kerajaan  diperalatkan untuk kepentingan politik UMNO/BN. Amatlah jauh jurang mereka dengan etika kepimpinan Islam yang dilaksanakan oleh PAS di Kelantan apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan contoh teladan masyhur yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz r.h.

Agenda penipuan UMNO/BN tidak terhenti dengan penguasaan ke atas institusi-institusi kerajaan dan negara sahaja malah terus memanipulasikan sentimen rakyat dengan keyakinan palsu (false consciousness) kononnya negara di bawah kepimpinan UMNO/BN dan perdana menteri Dr. Mahathir Mohamad telah diiktiraf sebagai negara sedang membangun yang dikagumi dunia. Hanya Malaysia sahaja yang mampu mencipta dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 8 peratus selama beberapa tahun berturut-turut! Malaysia juga adalah 'negara Islam contoh' kerana 'kejayaan' dalam sektor perindustrian dan pemodenan pentadbiran Islam! Rakyat juga diindoktrinasikan dengan fahaman khurafat kononnya hanya kerajaan BN sahajalah yang mampu membawa pembangunan negara! Hanya UMNO sahajalah menjamin ketuanan bangsa Melayu! Inilah antara rhetoric palsu mereka untuk mengabui mata rakyat dan masyarakat antarabangsa.

Malaysia hanyalah seumpama seekor harimau kertas! Segala kehebatan dan gah ekonomi mereka lenyap sekelip mata dilanda krisis matawang dan  gempa kejatuhan pasaran saham serantau. Wajah 'kerajaan Islam contoh' mereka serta merta hodoh dengan 'keadilan ala pentadbiran Mahathir' di dalam kes pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim, bekas timbalan perdana menteri! Suatu kes yang memalitkan kehinaan kepada maruah ummah dan memalukan negara.

Kemuncaknya rakyat diindoktrinasikan dengan budaya 'master and servant' apabila kepimpinan negara diberikan solekan 'pemimpin agung' yang perlu dipatuhi tanpa sebarang soal bicara. Apa sahaja kehendak perdana menteri 'diperkenankan'. Malaysia mesti serba boleh  walaupun dengan mengorbankan hak rakyat melalui apa sahaja yang difikirkan boleh mempertahankan survival mereka termasuk eksploitasi penubuhan Dana Modal dan Dana Harta di samping terus mempertahankan projek-projek mewah seperti Kompleks SUKOM, Sirkit Formula One di Sepang dan lain-lain. Lahirlah Dr. Mahathir sebagai seorang pemimpin autokratik ulung kalaupun tidak diktator dalam sejarah negara ini.


MEMIMPIN PERUBAHAN  ­ 7   É3                     
Ő
Negara ini akan terus ke jurang kehancuran jika rakyat tidak bertindak segera dengan melakukan perubahan atau tajdid. Ianya bukan sekadar untuk menukar seorang perdana menteri yang sudah lanjut usia sahaja atau terlalu lama berkuasa malah  segala bentuk jahiliyah dan sekularisme yang kini diinstitusikan mestilah juga diruntuhkan. Perubahan paradigma budaya (cultural paradigm reform) semata-mata tidak akan memberi apa-apa erti sekiranya perubahan paradigma struktural (structural paradigm reform) dan penyusunan semula sistem sosial tidak dilakukan. Justeru itu medan pilihanraya adalah paling sesuai untuk menukar kerajaan yang ada dengan sebuah kerajaan alternatif yang akan melaksanakan perubahan ke arah keadilan sosial (al 'adalah al ijtima'iyyah) sepenuhnya. 

Semenjak tema Muktamar Tahunan Dewan Pemuda : 'Menjana Kuasa Rakyat'  (1997) dan 'Bangkit Tolak BN' (1998), kita telah dapat melihat tanda-tanda perubahan. Kini rakyat telah bangkit menyatakan sikap mahukan perubahan. Kerana itu suasana akan berubah sesuai dengan jaminan Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud) : 

 "Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga  mereka merubah keadaan yang ada pada mereka sendiri"                                           
Ar Ra'd (13) : 11

Gelombang perubahan ini dapat dilihat melalui pelbagai reaksi rakyat ke atas penyelewengan dan kezaliman yang dilakukan kerajaan BN selama ini. Reaksi ini ditunjukkan oleh mereka melalui forum-forum rakyat yang disertai oleh pelajar, belia dan golongan intelek. Bahkan mereka telah keluar ke masjid-masjid untuk bersembahyang hajat dan berdemonstrasi di jalanraya terutamanya di Lembah Klang. Penyertaan ramai golongan ulama dan profesional serta ahli-ahli UMNO ke dalam PAS menampakkan kesedaran sebenar mereka mendukung perubahan. 

Pokok persoalan dalam politik semasa di Malaysia ialah bagaimanakah kuasa rakyat dapat menjatuhkan parti pemerintah yang ada hari ini? Dengan segala penyalahgunaan kuasa dan taktik kotor mereka, rakyat tidak dapat tidak mestilah bergabung di dalam satu kekuatan besar, padu dan terarah. Kekuatan padu ini mestilah diterjemahkan di dalam pilihanraya sebagai kaedah yang dibenarkan oleh undang-undang negara untuk menukar kerajaan. PAS telah memilih kaedah berpilihanraya sebagai wajib bagi semua rakyat yang diberi kuasa oleh undang-undang untuk memilih. Kerana itu persiapan menghadapi pilihanraya perlu dimantapkan segera dengan membulatkan kerjasama di kalangan badan-badan Islam dan persepakatan di kalangan parti-parti alternatif di samping sokongan padu badan-badan bukan kerajaan (NGO) terhadap perjuangan besar melakukan perubahan kepimpinan negara kepada kepimpinan yang adil. 

Menyahut Panggilan Perpaduan

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa perkembangan politik mutakhir di Malaysia telah mendorong perubahan sikap semua pihak yang cintakan keadilan dan kesejahteraan bergerak ke arah membentuk perpaduan di kalangan rakyat. Penubuhan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, YB Ustaz Dato' Fadhil Noor sebagai sebuah NGO adalah tepat dan bijaksana. Kejayaan kerajaan Kelantan membangun bersama Islam hampir satu dekad, tanpa keresahan masyarakat bukan Islam dan keupayaannya menyelesaikan pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh golongan tertentu menunjukkan kejayaan dasar PAS dalam menegakkan perpaduan.

DPP Pusat menyeru semua badan Islam untuk bersama dengan PAS mengemblengkan kekuatan ulama, golongan intelektual dan birokrat Islam bagi menjana sokongan padu rakyat untuk melakukan perubahan. InsyaAllah kita berupaya mengambil peranan ulul albab dan muncul sebagai golongan unggul (as-safwat ul-mukhtarah) bagi membentuk saf kepimpinan ummah menerajui perubahan membangun sebuah negara yang makmur lagi adil.

Kita penuh yakin bahawa parti-parti politik yang dianggotai oleh majoriti bukan Islam dan badan-badan bukan kerajaan dari pelbagai kaum dan agama yang mendukung cita-cita menegakkan keadilan akan bersama-sama memimpin kumpulan dan pengikut masing-masing untuk melakukan perubahan dengan menukarkan kepimpinan negara kepada kepimpinan yang baru pada pilihanraya yang akan datang. Dengan itu semua pihak - Islam dan bukan Islam - akan bersatu memimpin perubahan bagi kesejahteraan umat dan generasi akan datang.

Kita mengharapkan semua agensi kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)  menjalankan fungsi sebenar masing-masing dan tidak bersekongkol dengan parti BN supaya rakyat dapat membuat pemilihan yang saksama dalam pilihanraya yang akan datang. Kita tidak mahu pegawai-pegawai menjadi alat kepada sebuah pemerintahan diktator kerana mereka adalah pegawai-pegawai yang menjalankan amanah untuk membangunkan rakyat dan negara. Mereka bukanlah kakitangan atau pegawai pejabat UMNO. Kerana itu mereka mestilah mendapat kebebasan sebagai rakyat di samping menjalankan tugas sebagai kakitangan kerajaan. Seterusnya mereka berkewajipan mendukung cita-cita menegakkan keadilan di dalam negara ini.

Semua Kaum Harus Terima Islam

Masyarakat bukan Islam di negara ini, khususnya kaum Cina tidak usah terpedaya dengan segala dakwaan karut oleh UMNO dan MCA terhadap konsep negara Islam. MCA sesungguhnya berada di persimpangan jalan apabila menggunakan 'Islamic bogey' untuk menarik sokongan kaum Cina dan DAP kelihatan cuba mengimbangi taktik ini dengan mengambil pendekatan 'menentang konsep Negara Islam' di Malaysia supaya mereka terus berada di dalam arus perdana politik masyarakat Cina. DAP tidak seharusnya begitu yakin dengan andaian kononnya masyarakat Cina tidak menerima Islam. 

Begitu jugalah UMNO yang mendukung sekularisme terpaksa memakai 'baju ilusi Islam' supaya mereka terus mendapat sokongan umat Islam khususnya masyarakat Melayu untuk mengekalkan kesinambungan agenda politik sempit mereka. Nyatanya, jika UMNO bersekongkol dengan MCA yang anti konsep Negara Islam, maka UMNO juga adalah penentang penubuhan Negara Islam. UMNO bukanlah wadah bagi umat Islam meletakkan harapan perjuangan mendaulatkan syariat Islam di negara ini.  Tidaklah jauh bezanya UMNO dengan pendukung-pendukung regim sekular yang mengekang umat Islam di seluruh negara umat Islam.

Senario ini menjelaskan hakikat bahawa Islam adalah teras dan faktor yang dominan di dalam menentukan halatuju politik Malaysia untuk abad akan datang. Masyarakat Cina di Malaysia tidak harus selamanya mengikut rentak politik perkauman sempit MCA dan kerabat-kerabat BN. Masyarakat Cina tidak seharusnya menolak fakta sejarah bahawa Islam adalah faktor utama yang telah mencorakkan pembinaan hubungan antara pelbagai budaya di Malaysia. Sikap keterbukaan masyarakat Melayu dalam menerima konsep masyarakat majmuk  adalah dibentuk oleh Islam yang menjadi nadi kehidupan masyarakat Melayu. 

Fakta sejarah membuktikan kemasukan Islam ke negeri China bermula sejak Dinasti Tang di abad ketujuh Masehi, lama sebelum Islam sampai ke rantau Nusantara. Para ulama dan cendekiawan Islam di China telah memberi sumbangan besar pembentukan budaya masyarakat Cina dan memperkayakan tamadun mereka. Sumbangan mereka bermula sebagai karyawan seni dan budaya, ahli fizik dan astronomi sehinggalah sebagai pemerintah tentera seperti yang berlaku di zaman Dinasti Yuan dan Dinasti Ming. Laksamana Cheng Ho yang diutuskan ke Tanah Melayu adalah seorang daripada pegawai Islam di bawah pemerintahan Dinasti Ming. Malah di dalam sejarah moden China, di dalam peperangan dengan Jepun, pemerintah tentera China ialah seorang Islam iaitu General Omar Bai Chung Si. Terlalu banyak fakta sejarah menjelaskan interaksi dan integrasi di antara tamadun Islam dan China. Islam di China dikenali sebagai Ching-Zhen Jiao bermaksud 'ugama kebenaran dan kesucian' (the religion of truth and purity).

Perlembagaan Malaysia (Perkara 160) yang menghadkan takrif seorang Melayu 'sebagai seorang yang  beragama Islam' telah diambil gambaran salah oleh ornag-orang Cina. Mereka menganggap Islam adalah 'agama untuk orang Melayu sahaja'. Padahal ramai di kalangan pendatang Cina ini mempunyai salasilah keturunan Islam di tanah besar China. Sikap politik UMNO yang memberikan gambaran yang salah  mengenai negara Islam dan teladan kepimpinan mereka yang buruk menyumbang kepada kekeliruan orang-orang Cina dan kaum-kaum lain di Malaysia. 

Masyarakat India yang telah menjadi rakyat negara ini juga telah  memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara. Kita menyedari masih ramai mereka yang terlalu miskin di ladang-ladang dan tidak mempunyai kediaman yang munasabah serta masa depan untuk anak-anak. PAS sebagai parti ummah yang mendukung perjuangan menegakkan keadilan tetap prihatin dengan masalah mereka dan mengajak mereka bersama-sama memimpin perubahan.

Di dalam negara Islam, rakyat bukan Islam akan menikmati hak-hak asasi mereka seperti termaktub di dalam undang-undang syariah di mana mereka dikenali sebagai ahli zimmah (the covenanted people). Mereka diberi jaminan  keselamatan, harta benda dan maruah sama seperti yang dinikmati oleh masyarakat Islam. Adalah menjadi tanggungjawab agama bagi umat Islam untuk melindungi ahli zimmah kerana ianya sebahagian daripada tuntutan iman. 

Penyelesaian Hanya Dengan Islam

PAS yang mendukung Islam selamanya accommodative kepada semua pihak yang sedia bekerjasama atau berpakat untuk menegakkan keadilan, keamanan dan kesejahteraan rakyat. Kesediaan PAS untuk terlibat dengan kerajaan campuran pada tahun 1970 (selepas tragedi 13 Mei 1969) dan kemudiannya menyertai BN, menjadi ahli Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN) pada 1989, memimpin Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990 dan terakhir GERAK pada 1998 adalah bukti sejarah tentang sikap keterbukaan PAS. Dengan keruntuhan sistem sekular yang dipertahankan oleh UMNO dan BN, masa ini adalah terbaik untuk bersatu padu, bukan untuk memencilkan atau menindas mana-mana pihak. Abad ke-21 adalah abad untuk pembentukan negara Malaysia yang bebas daripada politik perkauman yang selama ini dijuarai oleh UMNO, MCA, MIC dan kerabat mereka. Malaysia mestilah menerima kuasa baru yang berupaya membawa keadilan merentasi semua identiti perkauman, budaya dan kepentingan primitif.

Pembangunan manusia (insan kamil) adalah menjadi teras kepada pembangunan negara Islam. Manusia yang dibangunkan dengan aqidah dan akhlak Islam sahajalah yang akan mampu menjadikan pembangunan ilmu, ekonomi, teknologi dan seumpamanya memberi manfaat secara saksama kepada seluruh rakyat. 

Keamanan negara akan lebih kukuh dengan pelaksanaan syariat Islam yang mendapat keberkatan Allah S.W.T. Perpaduan kaum akan lebih harmonis kerana keadilan bukan diukur dari sudut perkauman tetapi kebenaran dan keadilan manusiawi. Pembangunan ekonomi bukan diukur dari sudut melahirkan masyarakat mewah (affluent society) semata-mata tetapi keupayaan negara membangun secara seimbang, kecukupan keperluan asasi rakyat dan negara, jaminan sosial untuk warga tua, golongan kurang upaya dan generasi muda,  kemampuan untuk bersaing dan ketahanan mendepani segala kerenah ekonomi domestik dan antarabangsa. Dasar ekonomi yang hanya mengutamakan masyarakat mewah akan membawa bersamanya sampah sarap pembangunan (externalities) yang akhirnya menjadi barah memakan kemakmuran negara.

Alhamdulillah, ulama-ulama besar dan sarjana Islam mutakhir yang bertemu di  Lester, England pada Februari 1999, termasuk Dr. Yusof Al-Qaradhawi dan Prof. Khurshid Ahmad telah menyatakan sokongan yang bulat kepada perjuangan PAS menegakkan pemerintahan Islam di negara ini. Kita menyambut baik sokongan tersebut kerana sesuai dengan kejelasan perjuangan PAS. Rakyat mesti membuat pilihan betul untuk meletakkan PAS menerajui perubahan kerana kejelasan dan ketelusan visi dan misi perjuangannya. PAS sepanjang sejarah perjuangan telah menumpukan kepada usaha mendidik rakyat untuk memegang teguh kalimah Allah sebagai asas utama pembinaan negara Islam. PAS menyeru rakyat untuk bersama dengannya menerajui perubahan atau reformasi negara dengan menjadikan Islam sebagai satu-satunya dasar dan matlamat demi keutuhan negara dan kesejahteraan semua.

Muka Sebelah